Tuesday, November 10, 2009

"Hidayah ALLAH"


SINAR BARU

Jika diamati hari-hari yang berlalu aku rasakan diri ini begitu kosong dan sepi. Tiada teman yang mampu menghilangkan rasa bosan dan tiap-tiap hari siang dan malamku tak terisi dengan kata-kata yang indah. Kedua-dua orang tuaku melayani tugasan masing-masing yang tak pernah henti-henti. Kawan baikku sendiri tidak mengerti apa aku inginkan dalam hidup ini. Segalanya berubah dengan sekelip mata, setelah aku menemui si Dia yang begitu memahami. Kain yang dahulunya putih dan pudar kini bercorak dan mewarnai kehidupanku. Segala-galanya terasa indah dan seolah-olah diriku kini berada di alam lain yang tidak pernah aku lalui. Hanya dia yang mengetahui apa yang aku inginkan dalam hidup yang sementara ini. Dan disampingnya aku dapat mengapai ketenangan yang abadi untuk selamanya. Aku turut merasakan hatiku dan diriku yang dahulunya kosong telah terisi padat dan penuh bermakna.

PERTEMUAN PERTAMA

Pertama kalinya, aku bermimpi sesuatu yang indah dan tidak dapat digambarkan olehku. Aku seperti berada di suatu tempat yang begitu indah dan cantik yang tidak pernah aku rasai dan amati di dunia ini. Kawasan yang dipenuhi dengan pohon-pohon yang menghijau dan air sungainya yang mengalir tenang serta berwarna-warni cukup mendamaikanku. Lalu aku cuba menyentuh air sungai tersebut tetapi entah kenapa airnya tiba-tiba berubah kepada suatu warna yang sangat kotor dan menjijikkan. Apabila aku terjaga dari mimpi, aku terdengar suatu kalimah yang syahdu dan mendayu-dayu. Pada waktu itu aku masih tidak mengerti apa maksud sebenar mimpi yang telah aku alami dan mengapa pada waktu kalimah itu dilaungkan aku terjaga dari alam fantasiku. Aku cuba untuk memahaminya tapi segala-galanya tidak dapat aku tafsirkannya sendiri. Mungkin usiaku baru setahun jagung dan masih tidak mengerti selok belok dan liku-liku kehidupan di dunia ini. Walhal aku dikira sudah matang kerana telah pun mengalami setiap apa wanita-wanita lain alami tiap-tiap bulan.

PERSOALAN

Aku cuba untuk bertanyakan kepada ibu bapaku akan maksud tersirat mimpi yang telah aku lalui. Akan tetapi kedua-dua mereka mengatakan itu hanyalah mainan tidur semata-mata. Aku masih tidak berpuas hati akan jawapan mereka kerana mimpi tersebut bukannya sekali muncul dalam tidurku tetapi berulang-ulang kali sehingga tidak terkira oleh akalku dan yang peliknya aku pasti akan terjaga sewaktu kalimah mulia itu menangkap gegendang telingaku dikala fajar menyingsing. Aku turut menceritakan dan menyoalkan hal itu kepada kawan-kawan yang sebaya denganku tetapi masing-masing mengatakan perkara tersebut adalah mainan tidur. Sebahagian daripada mereka mentertawakanku. Akhirnya, aku pun terus memendam perasaanku terhadap apa yang telah aku lalui dan menganggap mimpi itu adalah mainan tidur yang sering menganggu waktu malamku.

PERSOLAN TERJAWAB

Semakin hari aku semakin dewasa, rupa parasku dan bentuk badanku telah berubah. Aku telah pun meningkat dewasa. Usiaku telah pun mencecah 19 tahun dan ketika itulah aku sudah mengerti maksud tersirat mimpi yang aku alami selama ini. Segala-galanya terungkap apabila aku berkenalan dengan seorang teman yang aku anggap sangat istimewa kerana rupa paras dan warna kulit yang agak sedikit berbeza daripada kawan-kawanku sebelum ini. Matanya yang cantik seakan-akan aku tetapi aku lebih kecil darinya.Manakala kulitnya yang sawo matang, tidak terlalu gelap dan tidak secerah dan seputih kulitku. Dan yang paling membezakan aku denganya adalah kepalanya yang sentiasa bertutup dan tiada seurat rambut pun yang boleh aku gambarkan pada waktu itu samada coklat,hitam mahupun perang. Segalanya adalah rahsia dan hanya yang berhak sahaja boleh mengetahui akan apa tersirat di sebalik jilbabnya. Pertama kali bertemunya ada rasa gembira di sudut hatiku ini. Mungkin dialah orang akan menjawab segala persoalan yang membeku dalam hatiku ini. Aku bertanyakan hal mimpiku kepadanya pada suatu hari yang sesuai kerana selama ini kami hanya berborak kosong dan sekadar berkenalan serta tidak sampai menceritakan rahsia masing-masing. Walaupun sedikit jawapan yang di berikan tetapi padat dan amat bermakna. Mimpi yang aku alami selama ini mungkin adalah tanda kekuasaan Allah yang ingin memberikan aku petunjuk ke jalan kebenaran. Kalimah yang selama ini aku dengari adalah laungan azan yang berkumandang setiap pagi yang memanggil setiap umatnya supaya sujud menyembah Tuhan yang Esa. Kawasan yang indah dan cantik yang tergambar dalam mimpiku adalah mungkin syurga kerana keindahan dan kenikmatan syurga tiada tolok bandingnya dengan kehidupan di dunia yang sementara. Manakala air sungai yang tiba-tiba berubah warna itu mengambarkan yang aku belum suci lagi untuk menggapai kelazatan syurga yang kekal abadi. Aku terus bertanya kepada sahabatku itu,bagaimana aku boleh memperolehi kenikmatan tersebut? Dia mengatakan bahawa aku perlu melepaskan agama yang aku anuti sekarang ini dan berhijrah ke agama yang diredhai oleh Allah. Aku terus terdiam dan berfikir sejenak,sangupkah aku melepaskan sahaja agama yang aku pegang selama ini? Bagaimana dengan kedua-dua orang tuaku? Aku pun terus mengucapkan terima kasih supaya aku dapat menamatkan perbualan tersebut. Sahabatku itu terus mempelawaku kerumahnya bila ada kelapangan dan setiap apa yang diperkatakan olehnya adalah bukan rekaan. Dia turut menyuruhku berfikir semula dengan apa diucapkan olehnya sebentar tadi dan sebarang kemusykilan bolehlah merujuk kepadanya atau ustaz,orang alim yang mungkin akan memudahkan lagi kefahamannya tentang perkara yang mereka bualkan sebentar tadi.

Selepas sahaja dari perbualan tersebut aku terus balik ke rumah. Setiap kali aku cuba untuk melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Aku masih terngiang-ngiang setiap butir bicara yang dilemparkan oleh Zahrah kepadaku. Ya,Zahrahlah nama sahabat baruku. Kalimah Allah,Allah,Allah sentiasa berputar ligat dalam mindaku. Siapa tuhan sebenarnya? Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mendalami agama tersebut melalui Zahrah . Dia telah mengajar segala perkara mengenai agama Islam yang tidak pernah memaksa setiap umatnya memeluk Islam. Ini semua atas kerelaan masing-masing untuk memilih jalan yang lurus dan di berkati oleh Allah S.W.T. Dia turut mengajar rukun Islam dan rukun Iman serta perkara yang berkaitan dengan Islam. Aku mempelajari segala-galanya secara senyap tanpa pengetahuan ibu bapaku. Alhamdullilah, Allah telah memberi segala kemudahan kepadaku untuk memahami agama Islam yang syumul. Aku cepat mempelajarinya.

BERHIJRAH

Waktu yang dinantikan telah tiba, aku telah pun bersedia untuk memeluk Islam. Kalimah shahadah diucapkan olehku di hadapan seorang imam masjid bertemankan sahabatku. Aku turut menukar namaku dari Sue Ling kepada Suraya Abdullah di pejabat agama. Aku berasa sungguh tenang sekarang dan personaliti aku berubah dengan serta merta. Zahrahlah yang banyak mengajar cara pemakaian yang berlandaskan Islam. Pada mulanya aku agak kekok untuk mengenakan pakaian tersebut kerana agak merimaskan dan susah untuk di pakai terutamanya tudung. Akhirnya sahabatku yang banyak menyuruhku supaya bersabar mungkin kali pertama aku berasa amat susah. Nanti lama kelamaan aku akan rasa biasa dan pemakaian tudung tidak menyusahkan sesiapa pun. Kalau aku mengatakan panas antara sebab aku tidak mahu memakai tudung adalah tidak boleh diterima akal kerana azab siksa diakhirat kelak lebih panas dan berbisa daripada apa yang aku rasakan di dunia sekarang.

RAHSIA TERBONGKAR

Sudah beberapa bulan aku tidak pulang ke rumah kerana semenjak aku mendalami agama yang baru aku anuti ini tiada seorang pun dalam ahli keluarga aku yang mengetahuinya. Aku telah meminta kebenaran daripada kedua ibu bapaku untuk tinggal bersama-sama kawan. Mereka bersetuju dan membenarkan aku tinggal dengan sahabat baruku itu. Mereka tidak mengetahui siapakah Zahrah ini. Jika mereka tahu aku berkawan dengan orang Islam pasti mereka tidak akan membenarkan aku tinggal bersamanya. Aku mengambil keputusan untuk terus merahsiakan hal pengislaman aku daripada mereka dan tidak akan pulang ke rumah lagi. Tetapi atas nasihat Zahrah supaya pulang ke rumah dan memberitahu perkara yang sebenar kepada mereka supaya tidak timbul masalah yang lebih besar lagi. Malangnya, ibu bapa aku mengetahui lebih awal lagi akan penukaran agama asalku kepada Islam.

PENDERITAAN

Ayahku telah meminta bantuan daripada bomoh Siam untuk mengetahui bagaimana aku boleh memeluk Islam adakah aku terkena buatan orang. Bomoh tersebut mengiyakannya bahawa aku telah terkena buatan orang yang ingin sabotaj perniagaan ayahku. Mulanya mereka akan mengislamkan aku kemudian diikuti dengan ayahku serta ahli keluargaku yang lain. Segala perniagaan yang dijalankan selama ini akan diambil alih oleh orang yang menganiaya aku. Ayahku percaya akan omongan bomoh tersebut. Dengan segera ayahku mengarahkan orang suruhannya untuk menangkap aku dan membawaku ke rumah bomoh Siam itu. Bomoh itu telah pun menyediakan segala kelengkapan rawatan. Apabila kami sampai sahaja, dia terus meminta aku supaya duduk dihadapannya. Mulut bomoh tersebut terkumat-kamit dan mengeluarkan perkataan yang sukar difahami oleh orang lain hanya dia makhluk belaannya sahaja yang memahami . Aku dapat merasakan sesuatu telah memasuki kerongkongku sehingga aku berasa teramat pedih. Aku merayu kepada ayah supaya melepaskan aku tetapi setiap rayuan aku langsung tidak diendahkan oleh ayah. Aku turut meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya membantuku bebas dari perangkap bomoh Siam yang jahat dan ayahku. Mulutku tidak kering sentiasa basah menyebut kalimah Allah dan berselawat keatas jujungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

KEAJAIBAN

Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan yang Maha Esa, hujan turun dengan lebatnya sehingga membocorkan atap rumah bomoh tersebut. Air hujan berjaya menembusi atap rumah bomoh yang kejam itu dan telah membasahkan segala barang-barang yang digunakan untuk tujuan rawatan yang dianggap berkesan untuk mengubatiku. Aku berasa amat lega akan tetapi sakit di kerongkongku masih lagi berbisa. Hanya Tuhan sahaja yang tahu kesakitan yang dialamiku sekarang. Bomoh siam itu masih tidak mahu berputus asa, dia membawa aku ke bawah rumah kayunya. Dia mengambil gelas dan mengisikan gelas tersebut dengan air lumpur kesan daripada hujan yang lebat tadi. Kemudian seperti kebiasaannya mulutnya akan terkumat - kamit dan mengeluarkan perkataan yang kurang difahami dan sukar disebut. Setelah selesai menjampi, air tadi diberikan kepadaku. Aku dipaksa minum air itu tetapi aku membantah. Aku terpaksa akur akan desakan ayahku dan bomoh tersebut. Aku membaca Al-Fatihah dan selawat sebanyak tiga kali sebelum mula meneguk air tersebut. Alhamdulliah, dengan kekuasaan Allah air yang tadinya penuh dengan lumpur menjadi jernih dimataku dan aku meneguk air tersebut tanpa rasa takut. Satu lagi keajaiban Tuhan yang maha agung, kerongkongku yang tadinya perit telah pulih serta merta dan tiada lagi kesakitan yang dirasai diriku.

Aku pun di bawa pulang kerumah selepas bomoh tersebut tidak berjaya menjarakkan aku dari agama Islam. Ayahku yang turut sama melihat keajaiban dan kekuasaan Tuhan berasa sungguh takjub. Selepas daripada peristiwa tersebut ayahku turut sama memeluk Islam dan mengajak ahli keluarga lain untuk turut sama memeluk Islam. Aku bersyukur kerana ayah dan ibuku telah terbuka hati untuk memeluk Islam tanpa paksaan dari diriku mahupun orang lain. Aku amat berterima kasih kepada Allah yang memberikan hidayah dan petunjuk kepada diriku dan ahli keluargaku. Secara tidak langsung kami telah memilih agama Islam sebagai agama rasmi. Aku berasa amat bahagia dan tenang sekarang kerana si Dia yang selama ini dicari telah pun ditemui.