Friday, November 26, 2010

Kerana Sebuku Roti

Abu Burdah bin Musa Al-Asy'ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang
wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: "Wahai anakku, ingatlah kamu
akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku roti."

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun
beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun.
Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah
dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga
diapun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari
sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan
suami-isteri.

Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu
ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai
dengan mengerjakan solat dan bersujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya
sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud
untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan
yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin
dalam pondok itu.

Rupanya di samping kedai tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya
selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu
dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti. Pada waktu yang lain, datang pula orang
lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut,
begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian,
kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari
orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu
ia berkata: "Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku."

Orang yang membagikan roti itu menjawab: "Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan
semuanya telah habis, dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti."

Mendengar ungkapan dari orang yang membagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang
bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada
orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat
itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang
yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya
selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan
selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama
tujuh malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang
dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya,
ternyata amal sebuku roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama
tujuh malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata: "Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki
sebuku roti itu!"

No comments:

Post a Comment